Follo Molo (Become My Stalker And Ask Me To Stalk Back....I prefer a Yandere...)

Bored?You can play around with these line of colours for a while.....it is 100times better than PS4...because I dont have one....

26 Ogos 2009

Pemilik jenama Aura Seri, Datin Nor Zaina Abdul Ghani

Zaina pernah jual lidi sate

Oleh DEWI ABDUL RAHMAN

Pemilik jenama Aura Seri, Datin Nor Zaina Abdul Ghani hampir berpisah dengan suami gara-gara hidup susah.





MEMULAKAN kerjaya sebagai pembantu pengurusan di sebuah hotel di Pulau Pinang 11 tahun lalu, Datin Nor Zaina Abdul Ghani, 32, kini boleh berbangga dengan pencapaiannya sebagai Pengarah Urusan Positive Image. Syarikat itu terkenal dalam bidang kecantikan dan spa khususnya di bawah jenama Aura Seri.

Nor Zaina juga pernah tersenarai dalam Anugerah Mentor menerusi program Peruncitan Mara, finalis Wanita Ikon 2007 anjuran majalah Wanita dan tercalon dalam Glamorous Woman 2007 oleh majalah Glam.

“Dulu saya bukanlah seorang yang suka berniaga. Saya takut dan malu berdepan dengan orang, inikan pula untuk menjual barang,” katanya mengimbas kenangan ketika beliau berusia 20 tahun dan bekerja di hotel.

Namun, menurut Nor Zaina, di situ jugalah beliau bertemu bakal suami, Profesor Datuk Dr. Ibrahim Ahmad, yang bekerja di hotel yang sama. Kini Ibrahim, 42, merupakan seorang pakar motivasi.

Perkahwinan yang dilayari pada usia muda itu bagaimanapun menghadapi ujian selepas suaminya berhenti kerja, diikuti Nor Zaina sendiri atas alasan mahu mencari kerja lain.

“Tidak lama kemudian, kami tiada langsung sumber pendapatan. Kebetulan pula saya sedang mengandung anak pertama, Mohd. Danish Irfan.

“Jadi segala perbelanjaan isi rumah kami bergantung pada duit simpanan suami. Malah kami terpaksa menumpang di rumah ibu saya,” ujarnya.

Selepas berhenti kerja, pelbagai pekerjaan lain telah mereka cuba termasuk menjalankan perniagaan jualan langsung.

“Bukan itu saja, saya juga pernah jual kain dari rumah ke rumah dan menjual lidi sate untuk mendapatkan wang,” kenang beliau.

Menumpang di rumah ibu

Sungguhpun telah berusaha, pasangan ini masih hidup susah. Bahkan menurut Nor Zaina, beliau hampir disuruh berpisah dengan suami kerana keluarga tidak suka dengan keadaan mereka pada masa itu apatah lagi sudah setahun mereka menumpang di rumah ibu Nor Zaina.

“Oleh kerana takut bergelar janda, saya kuatkan hati dan ikut suami. Dalam masa yang sama, suami juga mendalami ilmu dalam bidang perubatan alternatif,” kata wanita kelahiran Bagan Serai, Perak ini.

Bercerita lanjut mengenai perjalanan hidup beliau, Nor Zaina mengatakan suaminya banyak membantu dalam menjadikan siapa dirinya kini.

“Saya memang tak nak terlibat dalam bisnes. Jadi pada masa itu agak sukar bagi suami untuk meyakinkan saya. Tapi kerana percayakan kebolehan saya, dia terus mendorong,” luahnya.

Pada masa itu, Ibrahim sudah pun menubuhkan Positive Mind Resources iaitu sebuah syarikat motivasi.

“Saya masih ingat pertama kali kami buat kursus, hanya seorang yang hadir walaupun yurannya cuma RM150.

“Tapi kini Alhamdulillah setiap kali kami mengajurkan kursus, perolehan kami lebih daripada yang dijangkakan,” ujar Nor Zaina.

Setelah berada dalam keadaan yang agak selesa, pasangan ini berhijrah ke Kuala Lumpur. Kursus pertama yang mereka anjurkan di bandar raya ini berjaya memperoleh kira-kira RM41,000.

Beli produk dapat insurans

“Bermula dari situlah kami bertapak di sini dengan membuka pejabat di Gombak, Selangor. Kemudian, kami keluarkan produk Aura Seri iaitu Aura Seri Wajah dan Aura Genius,” tuturnya yang sememangnya ringan mulut.

Bagi ibu kepada dua orang anak ini, naik turun dalam hidup adalah satu percaturan.

“Dalam perniagaan, strategi kena betul. Saya akui turut terlibat dalam bidang hiburan untuk memperluaskan empayar niaga.

“Bukan untuk menjadi terkenal sebaliknya demi kebaikan kedua-dua pihak,” jelasnya yang banyak menganjurkan karnival amal untuk anak-anak yatim.

Kini, setelah empat tahun terlibat dalam perniagaan, lebih banyak produk yang dihasilkan Aura Seri.

Terbaru, satu produk perlindungan khusus bagi kaum wanita dihasilkan termasuk pembiayaan insurans selama setahun.

“Bagi setiap pembelian produk Aura Seri Nur, pengguna akan ditawarkan insurans perlindungan percuma sehingga RM10,000 untuk tempoh setahun.

“Ini adalah satu-satunya produk kosmetik yang menawarkan insurans kepada wanita dalam jumlah yang amat memadai,” katanya ketika ditemui di Aura Seri Spa & Beauty di Gombak.

SUMBER=KOSMO!Online

Selamat menyambut Ramadhan al-Mubarak :)
-Miji

Post a Comment:

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

At the post page,this banner can be spin around ;)