Pengasas Pink Jambu bak mutiara


DARAH Diraja Pahang sebelah bapa dan darah Diraja Perak dari genetik ibu yang mengalir di dalam dirinya tidak pernah mempengaruhi Tengku Marina Tengku Ibrahim untuk mengambil jalan pintas untuk berjaya. Malah, wanita berusia 44 tahun ini mengambil masa yang cukup lama, iaitu kira-kira 17 tahun untuk melihat rekaannya benar-benar diterima umum.

Melahirkan Pink Jambu pada tahun 1992 sebagai satu jenama, rekaan-rekaannya, sama ada dalam bentuk fabrik, pakaian siap, kelengkapan rumah dan rekaan couture pernah mengisi gedung membeli-belah Parkson di seluruh Malaysia selama dua tahun. Malah, ia juga pernah mengisi rak-rak pakaian di Bangsar Shopping Centre, Suria KLCC, Plaza Damas, dan beberapa butik di sekitar Kuala Lumpur.

Tidak kurang hebat, ia juga sudah melebarkan sayapnya di Asia Selatan, Eropah dan Jepun melalui penyertaannya dalam pameran-pameran.

Namun, hanya pada tahun ini, pemilik jenama itu menarik semula produk keluarannya daripada gedung membeli-belah itu dan meletakkannya di bawah satu bumbung di butik mereka di Solaris Dutamas, Kuala Lumpur.

"Kami bersyukur dengan apa yang kami 'warisi' tetapi kami tidak mengambil kesempatan ke atasnya. Kakak mengambil laluan sukar sebagaimana orang lain lalui untuk membina bisnes ini.

"Dia menggunakan pengalamannya mereka set untuk rangkaian televisyen TV3, bekerja di firma-firma seni bina dan sebagainya untuk membina tapak yang kukuh dalam bidang ini. Cabaran baginya sesuatu yang sangat manis," ujar adik bongsu Tengku Marina, Tengku Eliza, 30.

Menurut Pengarah Jenama & Komunikasi untuk Pink Jambu itu, darah usahawan sememangnya sudah lama wujud dalam keluarga mereka.

"Kakak sememangnya saya angkat sebagai contoh dalam bidang perniagaan kerana dia seorang yang berani mencuba atau membuat keputusan. Apa saja yang dilakukannya akan ditukar menjadi peluang perniagaan," tambahnya.

Bakat seni yang ada pada kakaknya itu, menurut Tengku Eliza, banyak diwarisi daripada ibu tercinta, Raja Aminah Raja Musa. "Ada juga kraftangan yang ada di butik ini ialah hasil kerja emak.

"Seronoknya, emak pula seorang yang sentiasa menggalakkan anak-anaknya untuk melakukan apa sahaja yang anak-anaknya mahu lakukan," ungkap Tengku Eliza yang kini sedang mengikuti kursus pemasaran strategik lanjutan.

Keterbukaan yang berterusan diamalkan dalam keluarga mereka, membuatkan Eliza senang bekerja dengan kakaknya itu.

"Walaupun saya lebih muda daripadanya, kakak masih meminta pendapat dan merujuk kepada saya untuk perkara yang berkaitan dengan bidang yang saya ceburi. Disebabkan itu, saya mudah saja membuat keputusan untuk menyertai usaha kakak saya ini sedangkan sebelum ini saya mempunyai syarikat pengiklanan sendiri," kongsinya yang mula menyertai Pink Jambu secara serius pada tahun ini.

Menggambarkan kakaknya itu sebagai seorang yang artistik, inovatif dan timeless, Tengku Eliza memilih untuk menyamakan kakaknya itu seperti sebutir mutiara.

"Apa yang dilakukan mewakili dirinya. Apa saja yang dilakukannya tidak pernah dimamah usia dan sentiasa diingati. Setiap kali saya memikirkan kakak, saya akan terfikirkan mutiara. Kualiti mereka sama," tutur Tengku Eliza lagi.

BAKAT seni yang ada pada Tengku Eliza ialah penguasaannya terhadap bahasa pertuturan dan penulisan.

Eliza suara Marina

Sementara itu bagi Tengku Marina, tiada beza bekerja dengan keluarga atau bukan ahli keluarga.

"Tetapi jika bekerja dengan keluarga, kita akan turut mendapat sokongan atau galakan, dan lebih mudah untuk mempercayai mereka dalam menguruskan perniagaan.

"Hubungan saya dengan Eliza di tempat kerja cukup profesional, kami tahu di mana perlu digariskan sempadan antara kerja dan peribadi. Eliza ialah suara saya. Kami melahirkan visi dan sasaran perniagaan kami bersama-sama. Kami berusaha ke arahnya bersama-sama," ulasnya.

Tambahnya: "Namun apa yang penting, saya melihat dirinya sebagai seorang yang bakal mengepalai perniagaan kami, pewaris saya. Eliza terpilih kerana kepakaran dan kekuatannya dalam bidang pemasaran dan penjenamaan."

Motivasi diri Tengku Marina turut diakui adiknya itu apabila beliau tidak sekalipun menoleh ke belakang tatkala perniagaannya berdepan kebuntuan.

"Dulu kakak ada rakan kongsi, tetapi separuh jalan, dia memutuskan untuk menarik diri. Walaupun keseorangan, kakak teruskan juga. Hasilnya, Pink Jambu mula mendapat perhatian. Boleh dikatakan sepanjang hampir 17 tahun ini, kakak sudah berdepan pelbagai dugaan yang teruk, termasuk krisis kejatuhan ekonomi negara tetapi dia masih dapat bertahan sehingga kini," akui Tengku Eliza.

JENAMA Pink Jambu kini berdiri di atas dua nama wanita ini.

Dua hari, 20 rekaan

Pink Jambu pada satu ketika dahulu sememangnya berdepan dengan kesukaran apabila orang ramai melabel batik yang diusahakan butik tersebut sebagai sesuatu yang tradisional atau formal. Sedangkan Pink Jambu juga mampu menghasilkan pakaian sedia pakai berkonsep resort yang santai dan ranggi.

Pink Jambu mengatasi masalah itu dengan mereka pelbagai corak dalam bermacam-macam bentuk dan fungsi secara berterusan untuk memastikan ia sesuai untuk kegunaan pelbagai acara dan tujuan.

Kematangan dalam berkarya lebih terserlah apabila Marina mendedahkan beliau mampu menghasilkan 20 ilustrasi rekaan dalam masa tiga jam.

"Susulan daripada itu, barulah rekaan dilengkapkan dengan perincian, pewarnaan dan pengembangan idea. Ini bermaksud 20 rekaan dapat disempurnakan di antara dua hingga tiga hari," jelasnya.

Tidak melabelkan Pink Jambu sebagai pereka batik, sebaliknya butik itu mereka corak dan motif menggunakan teknik batik di atas fabrik.

"Kami percaya, produk kami terjual kerana reka corak dan bukannya kaedah batik yang kami gunakan," ujar Tengku Marina yang mengakui pandangan seperti itu mempunyai impak ke atas perniagaannya.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

KOLONEL SANDERS-PENGASAS KFC

Blog Tutorial:Aneka Gambar Untuk Header Bertukar-Tukar