Tips Kejayaan-Jutawan Dermawan

An-Nur: Jutawan dermawan
Bersama Zaharuddin Abd Rahman (Pensyarah Perbankan dan Kewangan Islam UIAM)
zaharuddin@yahoo.com




BAHAGIAN SATU

“ADAKAH anda gila?” Itu yang dikatakan oleh akauntan kepada jutawan bernama Brian Burnie apabila majikannya menyatakan hasrat untuk menderma hotel mewahnya bernilai sekitar RM112 juta.


Perasaan saya bercampur-campur setiap kali membaca berita sebegini. Minda pula berkecamuk memikirkan rasional dan dorongan yang memberi mereka kemampuan untuk menderma sebegitu banyak.

Kemungkinan, ramai akan terus bersangka buruk apabila membaca kisah dan berita dermawan si kaya seperti itu. Tidak dinafikan, ramai juga yang kagum dengan sifat dermawan mereka.

Mari kita cuba cari sebab luaran kedermawanan mereka dalam tulisan ini. Jika dulu, saya sering membaca pengasas Microsoft, Bill Gates, menderma di sana sini di samping yayasan yang ditubuhkannya. Kini, seorang lagi jutawan di Britain melakukan perkara sama.

Sumbangan Bill Gates

Pada Jun 2008, Bill Gates yang berumur 52 tahun membuat pengumuman akan meninggalkan sejumlah hartanya yang bernilai lebih RM200 bilion untuk tujuan kebajikan dalam surat wasiatnya.

Wang itu akan diletakkan di dalam Yayasan Bill and Melinda Gates untuk membiayai kajian kesihatan dan perubatan serta pendidikan di seluruh dunia. Yang mengagumkan saya ialah kata-katanya:

“Kami mahu memberi sesuatu kepada masyarakat yang mampu menyumbang kepada kebaikan secara keseluruhan untuk semua. Kami mahu menyumbang kepada dunia.”

Warren Buffet dan dermanya

Pada Jun 2006, saya terkejut membaca berita billionaire bernama Warren Buffet, 75, melakukan derma amal kepada Yayasan Gates untuk tujuan sama. Jumlah yang didermakan bukan kecil tapi lebih RM158 bilion.

Lebih menarik, Buffet mahu setiap sumbangannya yang dibuat secara tahunan itu digunakan pada tahun itu juga dan tidak mahu ditangguh-tangguh.

Pada 14 Mei lalu, saya membaca kisah seorang jutawan Britain mendermakan hotel mewahnya — yang asalnya sebuah rumah besar lama berusia beratus tahun sebelum diubahsuai dengan kos sekitar RM89 juta.

Pada asalnya, dia ingin menggunakan seluruh keuntungan jualan hotel mewah itu untuk tujuan kebajikan, namun ditukar ideanya. Kini, dengan rasminya hotel mewah itu akan dijual dan seluruh hasilnya bakal didermakan kepada persatuan kanser.

Kos jualannya sudah tentu melebihi RM110 juta. Berikut, tiga kata-kata beliau yang menarik hati saya:

“Memiliki harta serta mencari sebanyak mungkin wang adalah penting, tetapi kepentingan kepada masyarakat melebihi segala-galanya. Masyarakat lebih memandang wang sebagai perkara paling utama tetapi bagi saya, ia sebaliknya.

“Saya tidak mahu itu semua dan hanya berharap mahu melakukan lebih banyak perkara yang membawa kebaikan kepada masyarakat.

“Kita boleh mewasiatkan semua harta yang ada kepada badan kebajikan selepas kita mati, tetapi mengapa tidak melakukan sesuatu yang bernilai kepada masyarakat secara keseluruhan ketika kita masih hidup.”

Apa yang disebut pertama tadi bertepatan dengan tanggung jawab sosial dalam Islam. Malah di dalam Islam, pembangunan jati diri individu jauh lebih penting daripada pembangunan material, seperti bangunan pencakar langit dan sebagainya.

Yang kedua pula bertepatan ajaran Islam supaya tidak bersikap pentingkan diri sendiri dan sentiasa memikirkan manfaat yang diperoleh untuk dikongsi dengan orang ramai.

Yang ketiga pula bertepatan dengan sabda Nabi Muhammad SAW: “Dan janganlah kamu bertangguh-tangguh (dalam bersedekah) sehingga sampainya (nyawamu) di kerongkong (hampir mati).” (Riwayat Al-Bukhari, no 1353)

Apa lagi motif mereka?

Saya suka memikirkan motif positif dan sihat berbanding agenda terselindung ketiga-tiga individu berkenaan.

Selepas menolak andaian negatif selain membaca dengan lebih lanjut, baru terzahir beberapa sebab rasional. Antara paling utama adalah falsafah mereka dalam membentuk masa depan anak dan ahli keluarga.

Mereka mengambil keputusan menderma kerana tidak mahu meninggalkan harta yang terlalu banyak kepada anak kerana kelak akan membebankan mereka.

Malah, meninggalkan harta melimpah ruah juga dianggap tidak rasional. Falsafah mereka, tinggalkan cukup-cukup saja, namun anak masih perlu terus berusaha.

Buffet pernah berkata di majalah Fortune:

“Memberi anak anda terlalu banyak wang adalah satu beban dan bukan pemberian. Ia bukan perkara yang rasional untuk dilakukan.”

Saya mengira falsafah itu ada benarnya, masakan tidak, si anak pasti tidak akan dapat berkongsi rasa sukar, cabaran dan jerit perih yang dilalui ayahnya.

Malah, si anak akan ditinggalkan lemas dalam kekayaan mega tanpa sebarang usaha, kelak tiada apa lagi yang relevan untuk mereka lakukan, kecuali menghabiskan harta yang terlalu lumayan itu.

Hasilnya, otak mereka pasti menjadi mati dan lebih dahsyat, akan mencatatkan sejarah buruk dalam keluarga kerana terlalu lalai untuk menghabiskan harta, akhirnya menjadi beban dan masalah kepada masyarakat.

Tiada manfaat yang diberinya kepada masyarakat berbanding ayahnya yang bertungkus-lumus mencapai apa yang ada di depan matanya.

Kejayaan ayah mereka dicapai dengan 1,001 macam manfaat dipanjangkan kepada orang ramai, namun si anak akan menghancurkan segala-galanya.

Tujuh tahun lalu, Buffet pernah berkata dalam berita di ABC New ‘Nightline’ bahawa dilahirkan dalam kemewahan tidak melayakkan anaknya untuk menikmati keseluruhan harta.

Tidak dinafikan, ramai memuji tindakan mereka berdua dan tidak kurang juga yang mencela dengan pelbagai anggapan.

Apapun kritikan terhadap hartawan bukan Islam, bagi jutawan Muslim, Islam menganjurkan pendekatan yang sedikit berbeza, banyak pula yang sama. Yang paling berbeza adalah keperluan jutawan Muslim untuk menyembunyikan sumbangan dan sedekahnya.

Allah SWT berfirman: “Dan sekiranya kamu menyembunyikannya (sedekahmu) dan memberikannya kepada fakir miskin, demikian adalah LEBIH baik bagimu.”

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Sedekah yang dilakukan secara sembunyi memadamkan kemurkaan Allah SWT.”

Artikel daripada:myMetro(http://www.hmetro.com.my/)

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

KOLONEL SANDERS-PENGASAS KFC

Blog Tutorial:Aneka Gambar Untuk Header Bertukar-Tukar