Usahawan IKS perlu kreatif


Usahawan IKS perlu kreatif

Oleh SAFINA RAMLI
utusankedah@utusan.com.my



MUKHRIZ Tun Mahathir bersalaman dengan orang ramai yang menghadiri majlis kesyukuran pelantikannya sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri di Dewan Jitra, Kedah, semalam. - UTUSAN/ISMAIL KAMADIN

--------------------------------------------------------------------------------



JITRA 19 April - Usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di negara ini perlu lebih kreatif dalam menghasilkan produk-produk baru bagi memastikan keluaran mereka mendapat tempat dalam pasaran antarabangsa.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir berkata, kebanyakan usahawan di negara ini cenderung untuk menghasilkan produk yang sama sehingga berlaku lambakan di pasaran.

"Saya lihat usahawan kita ada sindrom 'teh tarik' yang mana apabila mereka lihat seorang usahawan berjaya dalam penghasilan sesuatu produk, maka mereka juga akan menghasilkan produk yang sama.

"Apabila ini berlaku, wujud persaingan sesama sendiri dan akan mengecilkan saiz pasaran produk tersebut di negara kita," ujarnya selepas menghadiri majlis kesyukuran di sini hari ini.

Menurutnya, produk-produk yang dihasilkan oleh usahawan tempatan mempunyai potensi besar untuk dijadikan salah satu sumber eksport negara memandangkan ia mendapat sambutan yang menggalakkan di luar negara.

"Usahawan kita perlu lebih berdaya maju serta berani mencuba untuk mengeluarkan produk-produk baru di pasaran.

"Sebagai contoh, mereka boleh mula menceburkan diri dalam industri sarang burung kerana ia mempunyai prospek pasaran yang tinggi di luar terutama di negara China," katanya.

Tambah Mukhriz, usahawan IKS terutama golongan muda disaran agar menceburkan diri dalam bidang seni tenunan kerana negara ini ketandusan idea-idea moden dalam menghasilkan produk seumpama itu.

"Sebagai contoh, tenunan songket boleh dimajukan dengan lebih agresif oleh golongan muda yang terdedah dengan trend-trend terbaru dan produk tersebut boleh dipasarkan ke luar negara.

"Kadang-kala kita ambil mudah dengan produk-produk kesenian di negara sendiri sedangkan produk-produk tersebut mempunyai potensi untuk menembusi pasaran luar," ujarnya.

Dalam pada itu, Mukhriz memberitahu, portfolio yang dipegangnya kini amat serasi dengan dirinya memandangkan beliau mempunyai pengalaman dalam bidang perdagangan antarabangsa sejak dari tahun 1994.

"Selalunya orang akan ingat Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri hanya terlibat dengan perniagaan melibatkan negara-negara luar sahaja.

"Namun, tanggapan ini kurang tepat kerana kementerian ini juga bertanggungjawab dalam memajukan industri di dalam negara dan saya akan mengambil peluang ini untuk membantu usahawan di negara ini dalam memajukan produk keluaran mereka," jelasnya.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

KOLONEL SANDERS-PENGASAS KFC

Blog Tutorial:Aneka Gambar Untuk Header Bertukar-Tukar