USAHAWAN BESI TEMPAWAN


Usahawan besi tempawan
Ebiza Sdn. Bhd. yang diketuai oleh Embon Abdullah giat menghasilkan pelbagai rekaan besi tempawan, antaranya set untuk meja makan, ruang tamu, laman, perhiasan rumah dan cenderahati beraneka rekaan.





--------------------------------------------------------------------------------


BESI logam telah membuka satu lembaran hidup baru buat Embon Abdullah, 59. Bekas ketua kerani Majlis Perbandaran Klang (MPK) yang kini Pengarah Urusan Ebiza Sdn. Bhd. mengakui besi logam yang diusahakannya mempunyai nilai untuk dikomersialkan.

Embon yang mula berjinak-jinak mempelajari selok-belok kraf tangan yang diperbuat daripada rotan sebelum ini giat menjalankan perniagaan besi logam atau besi tempawan.

"Jangan sangka besi cerucuk bangunan yang kita sentiasa lihat di mana-mana tapak pembinaan tidak bernilai atau tidak mempunyai harga. Ia mudah didapati dan kini, saya mampu menukarkannya kepada satu perusahaan yang maju sekali gus menaikkan seni kraf tangan negara", katanya pada program Liputan Media Turun Padang ke Selangor, baru-baru ini.

Embon yang meminati perniagaan sejak kecil tidak berasa ragu untuk memulakan sebuah perniagaan yang baru bagi dirinya.

Walaupun ia bermula sekadar minat, tetapi itu tidak mematahkan semangatnya untuk mencuba, apatah lagi dalam usia yang kian meningkat 'emas'.

Menurutnya, beliau beranggapan usia bukanlah penghalang untuk dirinya memajukan perniagaan. Sebagai persiapan awal, Embon terus mengatur strategi bagaimana untuk menggiatkan lagi perniagaan berasaskan besi tempawan.

Ebiza Sdn. Bhd. (Ebiza) yang kini berusia lebih daripada 20 tahun, giat menghasilkan pelbagai rekaan besi tempawan, antaranya set untuk meja makan, ruang tamu, laman, perhiasan rumah dan pelbagai cenderahati beraneka rekaan.

Mengenai pemilihan besi berbanding rotan sebagai bahan mentah utama perusahaannya, Embon menjelaskan, kerja-kerja memproses besi lebih mudah dan tidak memakan masa seperti rotan.




--------------------------------------------------------------------------------



Kerja-kerja memproses besi adalah mengasah, mengimpal atau memateri sebelum dibentuk menjadi sesuatu yang kreatif atau perkakas lain. Ini kerana besi adalah bahan logam yang mudah dibentuk berikutan strukturnya yang kukuh dan tidak berongga.

Menurutnya, bekalan bahan besi tempawan mudah didapati dan dibeli di kedai besi lain.

Sesuatu yang menarik ialah beliau mempelajari cara pembuatan besi tempawan daripada menantu perempuannya, warganegara Sepanyol yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang perniagaan tersebut.

"Anak lelaki saya dan menantu yang turut berdarah kacukan Filipina itu telah membawa masuk beberapa pekerja kilangnya di Filipina untuk mengajar saya tentang cara pembuatan dari rangka sehinggalah ia siap diproses.

"Saya tidak merasa kekok belajar daripada mereka walaupun status mereka sebagai pekerja kilang sahaja. Ini kerana ilmu dan kemahiran yang mereka ada adalah lebih tinggi dan boleh digunapakai," tambahnya.

Besi menjadi kraf

Bertitik-tolak daripada ilmu dan pengalaman yang dicurahkan oleh golongan pekerja tersebut, Embon sedikit demi sedikit turut belajar membuat rekaan bersama tenaga kerja yang dilantiknya.

"Saya bukanlah pereka pada asalnya, tetapi perniagaan ini menjadikan saya seorang 'pereka' secara tidak sengaja.

"Dalam menentukan pelbagai rekaan dan bentuk perkakas, saya lebih selesa berbincang dengan semua tenaga kerja dan kami sama-sama menghasilkan rekaan," ujarnya.

Dengan itu, katanya, tercetus idea untuk membentuk besi menjadi sebuah kraf tangan yang menarik.

Kraf tangan berasaskan besi tempawan keluaran Ebiza terdiri daripada pelbagai rekaan menarik seperti rak buku, tempat alas tisu, bekas hantaran dan bekas potpuri.

Dengan empayar perniagaan yang dibina hasil titik peluhnya, hasil produk Ebiza kini mencecah hampir 300 unit dan banyak memenuhi ruang legar serta bilik hotel terkemuka di ibu negara.

Bukan itu sahaja, melalui rekaan yang pelbagai ini juga, Embon merangkul banyak anugerah, antaranya Anugerah Franchaisi dalam Pencapaian Jualan Tertinggi 1998 dan 1999 oleh Koperasi Pegawai-Pegawai Melayu (MOCCIS), Anugerah Usahawan Cemerlang Kategori Anugerah Perdagangan oleh Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Selangor serta Anugerah Tokoh Industri Desa & Usahawan Cemerlang 1999 oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Barangan keluaran Ebiza juga tidak asing diperkatakan di negara luar. Buktinya, rekaan set kerusi ruang tamu yang diberi nama Valencia meraih anugerah Most Beautiful Design di Valencia ketika ia dipasarkan di sana.

Mengakui perniagaannya sedikit terjejas ketika kegawatan ekonomi melanda negara pada tahun 1997 membuatkan Embon terpaksa menukar 'arah angin' perniagaan dengan menjual untuk pasaran tempatan sahaja.

Katanya, dalam pasaran tempatan, syarikatnya menjadi tumpuan perancang perkahwinan yang gemar menggunakan bekas hantaran daripada besi tempawan.

"Ada yang menyangka rekaan produk keluaran Ebiza adalah produk buatan luar negara," selorohnya. - Bernama

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

KOLONEL SANDERS-PENGASAS KFC

Blog Tutorial:Aneka Gambar Untuk Header Bertukar-Tukar