16 Januari 2009

ARTIKEL USAHAWAN INTERNET


Tidak ada rugi

Ini pula kisah usahawan internet yang telah berjaya menjana pendapatan melalui internet dan melakukannya secara full-time di rumah. Saya juga ada membeli ebook beliau yang bertajuk Rahsia Zango. Yang mana ebook ini menceritakan bagaimana kita boleh buat duit melalui satu program pay per install Zango Cash. Ikuti kisah beliau di akhbar Kosmo online.

Pengusaha laman web dan blog, Samsul Zamzuri Abu Bakar mampu memperoleh pendapatan lima angka setiap bulan menerusi iklan yang masuk ke dalam laman-laman webnya.


HANYA menerusi iklan yang masuk ke dalam laman web atau blog, Samsul Zamzuri mampu memperoleh pendapatan lima angka sebulan.

SELAIN daripada perniagaan Internet, seseorang juga boleh memperoleh pendapatan menerusi iklan yang masuk ke dalam laman web atau blog mereka.

Menarik bukan? Anda hanya menulis atau mengemas kini laman web atau blog anda, dan iklan yang masuk memberikan anda pulangan yang besar.

Itulah yang telah terjadi kepada seorang pengusaha laman web dan blog, Samsul Zamzuri Abu Bakar yang kini hanya bekerja di rumahnya di Sungai Buloh, Selangor. Kerjaya sebagai juruaudit dalaman ditinggalkan Samsul Zamzuri, 33, sejak tahun 2005 setelah dua tahun membangunkan laman web dan blog.

"Saya mengambil keputusan itu setelah melihat ia mampu menjana pendapatan empat kali ganda lebih besar daripada apa yang saya lakukan pada masa itu.
"Kini, setiap bulan, saya mampu memperoleh pendapatan lima angka," kata Samsul yang merupakan graduan dalam bidang ekonomi dari Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

"Dan saya percaya, bukan setakat puluhan ribu, bahkan dengan pekerjaan ini mampu menjadikan seseorang itu jutawan. Di Malaysia, barangkali belum ada sesiapa yang bergelar jutawan hanya dengan iklan yang masuk ke dalam laman web atau blog.

"Tapi di luar negara, saya yakin ada. Yalah, kalau pendapatan sehari mereka mampu mencecah AS$5,000 dolar (RM15,950) masakan tidak boleh jadi jutawan," ujarnya yang mengusahakan laman web, portal, direktori web dan blog. Antaranya ialah www.osx-e.com dan blog webmaster Malaysia www.szab.net/blog/.

Menurut Samsul, pengiraan pendapatan menerusi laman web atau blog ialah bergantung kepada berapa banyak pengguna yang mengklik iklan tersebut dan bagi iklan banner pula berapa kali ia muncul berdasarkan lawatan pengguna yang masuk ke dalam laman webnya.

"Sebagai contoh, bagi iklan klik, satu klik iklan itu sahaja boleh bernilai serendah 3 sen Amerika sehingga menjangkau AS$80 dolar (RM255), setakat yang pernah saya ketahui. Nilainya berbeza mengikut iklan. Saya kebiasaannya mendapat antara 4 hingga 5 dolar (RM16) untuk satu iklan yang diklik pengguna.

"Bagi iklan banner pula, 1,000 kemunculan menyamai 8 dolar (RM25)," ujarnya.


Bercerita lanjut mengenai prosedur lazim yang dilalui untuk mendapatkan iklan, pengusaha laman web atau blog perlu memohon kemasukan iklan daripada syarikat perantara pengiklanan seperti Google Adsense menerusi laman web Google atau ValueClick Media.
Setelah mengisi borang permohonan yang berkehendakkan butiran mengenai laman web diisi, laman web berkenaan akan diperiksa dan diuji sama ada layak atau tidak untuk dimasuki iklan.

Pendapatan boleh diterima dengan beberapa cara antaranya kiriman cek atau sistem western union yang ditawarkan perkhidmatannya oleh bank dan pihak tertentu seperti bank CIMB, RHB dan pejabat pos.

Samsul turut menerangkan, selain daripada mendapat iklan secara perantaraan, ada juga iklan yang masuk ke dalam laman webnya secara terus. Ini biasanya melibatkan pengiklan dalam negara.

"Ia dilakukan dengan cara saya mengiklankan dalam laman web saya pelawaan untuk orang ramai atau pengiklan yang berminat untuk mengiklankan produk mereka di laman web atau blog saya," katanya.

Kini, masa Samsul banyak dihabiskan di rumah. Katanya, boleh dikatakan komputer di rumahnya terbuka 24 jam.

"Malam bila hendak tidur sahaja baru tutup," katanya yang sedang menunggu masa untuk mengambil anaknya di sekolah pada hari itu.

Tambah Samsul: "Apa yang boleh saya katakan, tidak ada ruginya melakukan kerja ini. Dengan modal yang terlalu sedikit, kita tidak akan rugi. Bahkan, margin keuntungan kita (perbezaan antara modal dan keuntungan) boleh jadi lebih tinggi daripada syarikat-syarikat besar.

"Apapun, nasihat saya sebelum menjadikannya kerjaya yang serius, Lakukannya sebagai hobi kerana nasib juga memainkan peranan. Bukan semua laman web mudah melepasi ujian kemasukan iklan." - ADHAM SHADAN


http://mijirealitihidup.blogspot.com/
http://akubudaksekolah.blogspot.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

Follow by Email