Follo Molo (Become My Stalker And Ask Me To Stalk Back....I prefer a Yandere...)

Bored?You can play around with these line of colours for a while.....it is 100times better than PS4...because I dont have one....

12 Mac 2009

Susah Dahulu Senang Kemudian+Senarai 20 orang Terkaya di dunia



Susah dahulu, senang kemudian



Oleh SUBASHINI RAJANDRA
subashini.rajandra@kosmo.com.my






Melentur aur biar dari rebungnya. Pepatah Melayu itu memang tidak asing lagi buat peniaga yang tidak kenal siang atau malam hari untuk meraih rezeki. Mengerah keringat bagi mencapai impian setinggi langit bagi membahagiakan keluarga, Saimon yang dilihat hari ini adalah seorang usahawan yang berjaya.




--------------------------------------------------------------------------------


BAGI warga bandar raya Petaling Jaya, mereka tidak memerlukan pengenalan tentang restoran Steven's Corner. Sebut sahaja Steven's Corner, ramai yang terbayang-bayangkan teh ais yang menyegarkan dan hidangan mi goreng atau nasi lemak yang panas. Bila tibanya waktu malam, restoran itu akan padat dengan meja dan kerusi yang disusun mengarah ke jalan raya.

Dari penduduk di sekitar Taman OUG, pekerja biasa, profesional, suri rumah, pelajar sekolah sehinggalah institusi pengajian tinggi, mereka akan singgah ke restoran itu bagi menikmati sajian segar yang dihidangkan sambil berborak dengan keluarga atau rakan-rakan.

Tidak hairanlah apabila Sharon Wong Wai Ling, bekas pemenang Miss Malaysia Chinese Cosmos Pageant 2005 (MMCCP) pernah berkata, beliau turut gemar melepak di restoran itu bersama kawan-kawannya. "Nak tahu apa keistimewaan Steven's Corner...apa lagi kalau bukan kerana teh O ais yang memang uumphh...!"






Di sebalik keistimewaannya yang terpahat jauh di sanubari setiap pengunjung, Steven's Corner kekal mempunyai aura dan tarikan unik. Beroperasi 24 jam sehari sejak 20 tahun lalu, warung kecil yang dimulakan oleh insan bernama Dr. K.M. Saimon, 60, kini telah bercambah kepada tujuh cawangan di sekitar Lembah Kelang termasuk sebuah kafe yang dibuka di pusat beli-belah Mid Valley Megamall, Kuala Lumpur pada awal tahun ini. Tiga lagi kafe terletak di pusat beli-belah Aeon U2, Wangsa Maju, Kuala Lumpur; pusat beli-belah Sunway Pyramid, Petaling Jaya; di Semenyih dan sebuah lagi bakal dibuka di Bukit Tinggi, Klang.

Ternyata pengaruh Steven's Corner tidak pernah pudar. Sekalipun dihujani dengan saingan dan konflik perniagaan yang tidak dapat dielakkan, namun Saimon yakin semuanya terangkum dalam asam garam dunia keusahawanan. Lebih tiga dekad menceburi bidang ini, Saimon tidak pernah menyesal memikirkan kisah lampau.

Malah, pada usia emas, Saimon masih aktif bekerja sebagai ejen hartanah dan sesekali 'turun padang' bagi memantau perkhidmatan yang disediakan kepada pelanggan. "Hanya komitmen dan usaha mampu memajukan seseorang. Biar susah sewaktu muda, asalkan dapat bersenang-senang di kemudian hari," ujarnya dengan penuh semangat ketika ditemui di pejabatnya di Petaling Jaya.

Meskipun lahir dalam keluarga besar, Saimon sebagai anak sulung daripada sembilan orang adik-beradik, sentiasa melaksanakan tanggungjawabnya sebagai anak dan abang yang baik. Kedua-dua ibu bapanya cuma seorang penoreh getah. Begitupun, Saimon berjaya menamatkan pelajaran sehingga tingkatan lima dengan cemerlang.





Disebabkan kesempitan wang dan desakan orang tua, Saimon akhirnya akur untuk bekerja bagi menambah pendapatan keluarga. Menjual sayur dengan upah sebanyak 40 sen sambil memberi kelas tuisyen, jiwa Saimon meronta-ronta untuk memperbaiki kehidupan pada masa depan.

Setelah mendirikan rumah tangga dalam usia 20 tahun dan mendapat empat cahaya mata, Saimon mengambil keputusan untuk meninggalkan kampung halamannya di estet Sungai Wang, Taiping, Perak. Tekad beliau ketika itu ialah menuju ke 'lombong emas'.

Tarikh 31 Ogos 1976, mencatatkan detik penuh bersejarah baginya sebaik sampai di Kuala Lumpur. Dengan hanya 60 sen di dalam poket, mereka sekeluarga tabah menghadapi hari-hari yang mendatang. Meniti kehidupan yang penuh ranjau, onak dan duri, Saimon tidak segan menyatakan dirinya pernah memungut sampah ketika berkhidmat dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), pekerja am di sebuah syarikat kontraktor binaan, pekebun dan atendan stesen petrol.

Dengan sedikit wang simpanan harian, pada tahun seterusnya, Saimon membuka sebuah warung kecil. Masih jauh dari kehidupan selesa, Saimon mengimbau kembali saat-saat mengangkat beg barangan runcit yang berat dengan menaiki basikal dan bas.

"Ada kalanya, saya teringin membeli ayam sekali dalam sebulan untuk keluarga tetapi setelah melangsaikan sewa rumah, perbelanjaan sekolah anak-anak, bil air dan elektrik, memang tak cukup duit. Terpaksalah kami makan kari telur ayam sahaja."

Isterinya, Lalitha Ambigai tidak kurang hebat membanting tulang menjaga anak-anak yang kini bertambah kepada 10 orang. Beliau menjual kuih-muih secara sambilan untuk menambah pendapatan suami. Selain itu, suami isteri ini juga bergilir-gilir menjaga warung di Overseas Union Garden, Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur.

Menjelang tahun 1986, nasibnya semakin cerah dengan pembelian sebuah lot kedai. Bertitik tolak dari situ, Saimon melebarkan sayap restoran Sri Komalah yang kini dikenali sebagai Steven's Corner (sempena nama anak kedua) kepada imej dan identiti baru.

Lebih mantap dan berwajah segar, kini jenama Steven's Corner meliputi bisnes katering, pusat permainan, hartanah dan lain-lain. Anak-anaknya juga tidak terlepas daripada menerima tempias bakat orang tuanya. Mereka ialah Komalah, Steven @ Sathiasilan, Selvanathan, Gunalan, Vijayaletchumy, Ramesh, Usha Rani, Yogerwary dan Kathiravan.

Bah kata pepatah, bapa borek, anak rintik. Justeru, empat anak perempuannya menguruskan perniagaan pada waktu pagi manakala enam anak lelaki bekerja pada sebelah malam. Menantu-menantu Saimon turut membantu secara sepenuh masa.

Memandangkan dunia perniagaan mempunyai risiko yang harus ditanggung, Saimon tidak terkecuali daripada mengalami kerugian jutaan ringgit tidak berapa lama dahulu. Kedua-dua agensi binaan dan kecantikan yang diasaskan menemui jalan buntu dalam masa yang singkat.

"Saya rasa terkilan dan terbawa-bawa meratapi kegagalan tersebut. Hanya setelah sedar, saya akui kesilapan melangkah ke dalam 'bisnes' yang tidak dikenali. Sekarang, saya banyak menghabiskan masa bersama keluarga, cucu-cicit, melancong ke luar negara dan menguruskan jualan hartanah," katanya yang menjadi ejen hartanah sejak 25 tahun dahulu.

Bagaimanapun, Saimon nekad untuk berahsia dengan anak-anak termasuk isteri berhubung dengan jumlah keuntungan yang diterima daripada jualan sebidang tanah atau rumah. Ini kerana beliau bimbang anak-anak akan berubah menjadi pemalas. Pada masa yang sama, Saimon aktif melakukan kerja-kerja amal di pertubuhan sekolah, badan keagamaan dan kebajikan.

Semasa berada di Myanmar, beliau mengedarkan buku pedoman yang diilhamkannya bagi menyuntik semangat kepada anak-anak kecil untuk berjaya dalam hidup. Di samping itu, Saimon menghargai dan menyayangi pekerjanya sama seperti anggota keluarga sendiri.

"Aset saya yang tidak ternilai ialah pekerja-pekerja saya yang mencecah 200 orang. Merekalah penggerak dan penaung utama. Tanpanya, apa yang hendak dijual," ujar Saimon yang memastikan pekerja-pekerja ini dibayar gaji dan dijaga dengan sempurna.

Jika mana-mana pekerja membuat kesalahan, tak kira kecil atau besar, Saimon memilih untuk menulis dalam sebuah buku kecil sebelum ditegur semasa mengadakan perjumpaan bulanan. Mahalingam Govindan, seorang tukang masak dari India yang bekerja hampir lapan tahun dengan Steven's Corner, melahirkan rasa gembira kerana dijaga bak anak sendiri. "Kami semua memanggilnya 'appa' (ayah) kerana dia menganggap kami seperti salah seorang anggota keluarganya. Dia menjaga makan minum kami dengan baik."

"Saya tidak teragak untuk terus bekerja di sini selagi diperlukan," ujarnya.

Sementara itu, seorang wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Lee ketika ditemui bersarapan di Steven's Corner di Taman OUG, memaklumkan kunjungannya ke sini bermula hampir 20 tahun yang lalu. "Makanannya tetap sedap dan layanan yang diberi sungguh baik. Saya dan Saimon pun sudah lama kenal. Masa itu, saya belum kahwin lagi," ujarnya yang baru selesai membeli-belah di pasar pagi berdekatan.

Walaupun Saimon percaya bahawa tiga angka satu dalam tarikh kelahirannya, 1/11/1949 membawa tuah, namun kemewahan yang dikecapi tidak mungkin bertahan tanpa usaha yang berterusan. "Jangan bersikap angkuh. Jangan berperangai seperti kacang lupakan kulit. Semaikan sikap membangunkan diri atas kaki sendiri dan tolong-menolong antara satu sama lain," kata Saimon sebelum menutup tirai perbualan kami.

Pada satu perkembangan lain, semasa Kosmo! menemui anak kedua Saimon, Steven di Steven's Tea Garden, Mid Valley, katanya, minat berniaga bermula sejak dia berusia 12 tahun.

Sambil membancuh air dan membuat roti canai, Steven mengenal selok-belok dunia perniagaan dengan cepat. Kebolehan mengira secara congak dalam bahasa Cina melekat pada dirinya seperti satu trademark termasuk dalam kalangan adik-beradik lelaki.

Ceritanya lagi, sebelum menamatkan alam persekolahan, ada sekali Steven membawa ayahnya duduk berbincang. Oleh kerana ibu bapanya tutup kedai pada pukul 10 malam, Steven mencadangkan idea untuk berniaga dari malam ke siang hari. "Pada mulanya, ayah tidak membenarkan. Saya masih ingat kata-katanya yang hambar. Dia fikir saya tidak mungkin berjaya atau bertahan lama kerana terlalu nakal."

"Bagaimanapun, kata-kata itulah yang meniupkan semangat pada diri saya," ujarnya yang berjaya menangkis tanggapan itu. Hari ini, Steven memantau segala operasi dan pengurusan syarikat serta restoran bersama Nathan dan Guna. Mereka juga menanamkan hasrat supaya francais Steven's Corner diterbangkan ke negara China, Taiwan dan sebagainya.







Senarai terbaru 20 terkaya di dunia


NEW YORK: Berikut senarai 20 orang terkaya di dunia 2009yang dikeluarkan Majalah Forbes hari ini:

1. Bill Gates (AS$40 bilion - Microsoft - Amerika Syarikat)

2. Warren Buffett (AS$37 bilion - Berkshire Hathaway - AS)



3. Carlos Slim dan keluarga (AS$35 bilion - Telecoms - Mexico)

4. Lawrence Ellison (AS$22.5 bilion) - Oracle - AS)

5. Ingvar Kamprad dan keluarga (AS$22 bilion - Ikea - Sweden)

6. Karl Albrecht (AS$21.5 bilion) - Aldi - Jerman)

7. Mukesh Ambani (AS$19.5 bilion) - petrokamia - India)

8. Lakshmi Mittal (AS$19.3 bilion) - besi - India

9. Theo Albrecht (AS$18.8 bilion) - Aldi - Trader Joe's - Jerman

10. Amancio Ortega (AS$18.3 bilion) - Zara - Sepanyol)

11. Jim Walton (AS$17.8 bilion) - Wal-Mart, AS)

12. Alice Walton (AS$17.6 bilion) - Wal-Mart - AS)

13. Christy Walton dan keluarga (AS$17.6 bilion) - Wal-Mart, AS)

14. S. Robson Walton (AS$17.6 bilion) - Wal-Mart AS)

15. Bernard Arnault (AS$16.5 bilion) - LVMH - Perancis.

16. Li Ka-shing (AS$16.2 bilion) - Hong Kong.

17. Michael Bloomberg (AS$16 bilion) - Bloomberg, AS)

18. Stefan Persson (AS$14.5 bilion) - Hennes and Mauritz, Sweden)

19. Charles Koch, AS$14 bilion - pembuatan, tenaga - AS)

20 David Koch (AS$14 bilion) - pembuatan, tenaga - AS) - AFP

Post a Comment:

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

At the post page,this banner can be spin around ;)