23 September 2009

Yuswarnis minat niaga


MEMILIKI agensi sendiri yang bakal menjana masa depannya, menjadi agenda yang sudah lama tertanam di hati. Menempuh pengalaman dan berniaga sendiri mungkin bukan sesuatu yang mudah, namun Yuswarnis Yusof, 34, yakin untuk merealisasikannya.

Merintis syarikat berasaskan komunikasi dua hala atau perhubungan awam dengan menjulang satu jenama yang bakal melakar kepentingan masyarakat umum memang sudah lama tersimpan di hati.

Minat mendalam dalam bidang komunikasi bukan sesuatu yang baru. Justeru, tidak hairan mengapa wanita ini sentiasa menggilap minat, bakat dan pengalaman untuk menjadi pengamal perhubungan awam yang hebat biarpun kini lebih banyak memberi tumpuan terhadap syarikat korporat yang diwakilinya, farmasi Guardian.

Turut meminati aspek kesihatan dan kecantikan, sesuai dengan penampilannya yang sentiasa bergaya membuatkan dia bijak menyesuaikan dirinya di mana juga.

“Mungkin saya bertuah kerana bekerja di bawah satu jenama kukuh yang sudah empat dekad usianya. Sebagai jenama tempatan yang sudah dikenali lebih 42 tahun lalu, ia membuktikan buatan Malaysia juga tidak kurang hebatnya.

“Untuk itu, di farmasi Guardian ini, tugas saya menyedarkan orang ramai mengenai pentingnya penjagaan kesihatan dan kecantikan. Sebenarnya kedua-dua aspek itu saling melengkapi kerana cantik saja tidak cukup kalau tidak sihat.

“Menjaga kepentingan massa dengan menyebarkan maklumat mengenai promosi atau aktiviti farmasi di tempat saya bertugas, ia amat memberangsangkan serta memberi kepuasan tersendiri. Misalnya, dalam suasana serangan penyakit atau sindrom tertentu, alangkah bertuah jika semua orang menjaga kesihatan diri sama penting dengan kepentingan awam yang lain.

“Ia turut menjadikan diri sentiasa peka dengan sekeliling. Memandangkan saya cukup menjaga kesempurnaan dan kecantikan, semua ini bagai bersatu dengan diri saya untuk sentiasa menjaga penampilan baik luaran mahupun dalaman,” katanya.

Sebelum menjawat tugas kini, wanita ini banyak menjalankan kerja membabitkan bidang peruncitan dan perhotelan. Apapun, minatnya lebih menjurus kepada perhubungan dengan masyarakat umum kerana merasakan minat dan kelebihannya di situ.

Dia tidak menafikan, sepanjang meraih lebih 13 tahun pengalaman dalam bidang berkenaan, dia sering berdepan dengan pelbagai cabaran. Dia turut akui cara menangani sesuatu masalah itu penting sehingga mampu meletakkan dirinya di tempat sekarang.

Sikapnya yang gemar berbicara dan berdikari mungkin dibentuk daripada pengalamannya dalam keluarga. Bahkan, sejak di tingkatan satu, dia ‘ditinggalkan’ keluarganya memandangkan bapanya bertugas di luar negara sebagai pegawai diplomatik di Hong Kong.

Oleh kerana si bapa tidak mahu dia terdedah kepada pendidikan Barat terutama di sekolah antarabangsa, Yuswarnis menetap sendiri di tanah air dan tinggal di asrama penuh. Ketika cuti sekolah, dia pulang ke rumah ibu saudaranya di Negeri Sembilan dan apabila berpeluang melawat orang tuanya di rantau orang, kesempatan itu digunakan sepenuhnya bagi mengeratkan kasih sayang.

“Mungkin sikap berdikari ini terdidik sejak awal remaja menjadikan saya cepat matang. Walaupun berjauhan dengan keluarga, hubungan dengan ibu dan ayah tetap kukuh.

“Apabila cuti sekolah, saya menemui keluarga di Hong Kong. Persekitaran dan proses pembelajaran banyak mengajar saya erti berdikari, ketabahan dan seterusnya semangat hidup yang cekal. Ertinya, saya sudah melengkapkan diri dengan pengalaman berharga dan pengalaman itu amat berguna untuk membentuk kerjaya seterusnya,” kata anak sulung daripada tiga beradik ini.

Bertuah dianugerahi suami penyayang yang juga pegawai perbankan, Mohd Ronnee Osman, 35, dia tidak menafikan cinta monyet yang dipupuk lebih 10 tahun ketika di bangku sekolah berakhir dengan sebuah perkahwinan membahagiakan.

Dia percaya keserasian dan persefahaman dalam rumah tangga serta menghormati kerjaya masing-masing antara punca hubungan mereka berdua amat bahagia.

“Suami banyak mengambil peranan apabila saya terlalu sibuk dengan urusan yang memaksa saya ke luar daerah atau negara, apatah lagi anak kami, Nur Aisya Sofea masih kecil yang memerlukan tumpuan lebih," katanya.

0 ulasan:

Catat Ulasan

Follow by Email