Empayar De Surya


Empayar De Surya

Oleh KHAIRATUL AINAL ABDUL KARIM
rencana@kosmo.com.my

Menyebut jenama De Surya pasti mengingatkan kita dengan pusat kecantikan Chakra De Surya Spa. Rupa-rupanya De Surya juga mempunyai cabang perniagaan automotif.






--------------------------------------------------------------------------------



DAYANG HASMIRA RAMLI berasa bangga melihat usahanya dalam bisnes yang jarang diceburi kaum wanita kini semakin memutik kejayaan.

Berpengalaman lebih 10 tahun dalam bidang perniagaan, menjadikan wanita itu tabah serta sentiasa bersedia menghadapi apa jua risiko dan halangan untuk berjaya.

Berusia 32 tahun, wanita itu gagah membangunkan sebuah pusat servis kenderaan yang terletak di B22, Tingkat Bawah, Lorong Sungai Isap Jaya, Kuantan, Pahang.

Bergelar Pengarah De Surya Upgrade Mechanical, ternyata usahanya tidak sia-sia lantaran empayar perniagaan yang semakin berkembang.

Menariknya, walaupun meminati dan mempunyai pengalaman luas dalam bidang automotif, anak kelahiran Mat Kilau itu juga sebenarnya seorang yang sukakan bidang kecantikan.

Bahkan hakikatnya, nama Chakra De Surya Spa bukanlah asing dalam bidang kecantikan. Menjadi pengasas kepada Chakra De Surya Spa, pusat kecantikan itu ditubuhkan Dayang Hasmira sejak dua tahun lalu.

Mengulas mengenai De Surya Upgrade Mechanical, katanya pusat servis itu menjalankan perniagaan bengkel automotif yang merangkumi pembaikan skala kecil hingga sederhana.

Selain melaksanakan kerja-kerja pembaikan automotif, dengan penubuhan pusat servis itu juga ia dapat membantu anak-anak muda Melayu yang berkemahiran menimba pengalaman.

Menurutnya, remaja yang mempunyai kemahiran dalam bidang itu harus diketengahkan dan diberi perhatian khusus. Sekurang-kurangnya mereka diberi peluang untuk mempraktik dan memahirkan kebolehan mereka.

"Di sini mereka boleh belajar dengan tenaga kerja pakar yang sudah mempunyai berpengalaman lebih 20 tahun dalam bidang automotif," katanya.

Pusat servis kenderaan tersebut menyediakan pelbagai perkhidmatan bagi kepuasan pelanggan antaranya servis dan baik pulih bahagian enjin, transmisi dan brek.

Selain itu kata Dayang Hasmira, pihaknya turut melakukan servis dan baik pulih bahagian suspensi selain modifikasi sesuai dengan kemampuan serta kehendak pelanggan.

"Kehendak pelanggan harus diberi keutamaan, di samping tidak mengabaikan aspek keselamatan," katanya lagi.

Dayang Hasmira menambah, visi utama pusat servis tersebut adalah untuk menjadi sebuah bengkel automotif setanding dengan firma-firma besar yang terkemuka masa kini.

"Saya gembira kerana De Surya Upgrade Mechanical mendapat sambutan dan telah diterima masyarakat, walaupun jarang-jarang wanita menceburi bidang ini," katanya.

Lebih mesra dengan panggilan Dayang, beliau ternyata tidak lokek dengan ilmu dan ingin berkongsi rahsia kejayaan perniagaan dengan semua wanita di negara ini.

"Untuk berjaya dalam bidang perniagaan, minda kita harus sentiasa terbuka dan bersiap sedia. Wanita juga perlu sentiasa ke hadapan," katanya.

Dalam pada itu, Dayang turut menasihatkan wanita agar sentiasa menjaga keterampilan dan imej diri.

"Semua wanita dikurniakan dengan kecantikan, baik dari luaran mahupun dalaman, kerana definasi kecantikan itu sangat luas untuk diperkatakan.

"Masing-masing mempunyai kelebihan dan keanggunan tersendiri, cari sedikit ruang dan masa untuk membelai diri kerana kita perlu kelihatan menarik sepanjang masa," ujarnya.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

KOLONEL SANDERS-PENGASAS KFC

Blog Tutorial:Aneka Gambar Untuk Header Bertukar-Tukar