25 Januari 2010

Keistimewaan WanitaMelayu.com


Keistimewaan WanitaMelayu.com
Forum Internet ilham Suzana Mustafa itu berjaya mengumpul 32,000 suri rumah dan menjana pendapatan RM30,000 sebulan.



SUZANA memulakan WanitaMelayu.com pada tahun 2005.

--------------------------------------------------------------------------------


APA yang dilakukan oleh wanita ini mungkin kecil, tetapi sangat bermakna kepada 32,000 ahli forum Internet, WanitaMelayu.com.

Sejak dilancarkan pada tahun 2005, pengusaha salun, pembuat kek, penjual kraf tangan, peniaga kecil-kecilan bahkan suri rumah telah membentuk kenalan dan komuniti bisnes yang menjana pendapatan yang agak lumayan.

"Rata-rata penjual, kebanyakannya suri rumah, memperoleh pendapatan RM7,000 sebulan tidak lama selepas menyertai WanitaMelayu.com," kata pengasas forum itu, Suzana Mustafa, 40.

Malah, kata wanita kelahiran Labuan ini, seorang ahli forum mendapat pendapatan bersih RM30,000 sebulan.

"Saya memulakan forum ini sekadar mahu berkongsi maklumat dengan pelayar Internet lain.

"Tambahan pula, tidak banyak forum yang membincangkan mengenai hal wanita ketika itu," jelas Suzana yang tidak menyangka forumnya yang berlandaskan minat terhadap sulaman dan kraf tangan itu menjadi tumpuan golongan suri rumah.

Forum Internet

Pemegang Diploma Kesetiausahaan dari Bedford College, London ini berkata, beliau mendapat pendedahan mengenai Internet dan forum secara meluas ketika bekerja di bahagian undang-undang di sebuah syarikat swasta di ibu negara.

"Ketika itu, Internet masih baru apatah lagi forum. Tapi saya dapat rasakan yang forum ini mampu memberi impak yang besar dalam perkongsian maklumat," katanya yang juga peneraju galeri sulaman dan kraf tangan, ZSi Trading Entreprise yang terletak di Bukit Mahkota Cheras, Selangor.

Sebelum ini, Suzana banyak melayari forum serta blog luar negara bagi menambah ilmu, idea serta kemahiran dalam membuat sulaman serta peluang dalam bidang perniagaan.

Katanya, berbeza dengan apa yang terdapat di dalam forum terbitan tempatan, ahli forum di luar negara tidak lokek ilmu, lebih terbuka dan berkemahiran.



HEBAHAN mengenai sesuatu aktiviti begitu cepat tersebar menerusi Internet.

--------------------------------------------------------------------------------


"Paling utama, mereka (ahli forum) tidak suka meleret-leret apabila mengulas satu-satu topik. Semuanya tepat, ringkas dan mengesankan," katanya.

Forum WanitaMelayu.com sememangnya mudah difahami dan senang dilayari. Anda cuma perlu merujuk kategori produk yang ingin dicari dan klik pada tajuknya.

Antara kategori produk yang dimaksudkan ialah barangan rumah, kecantikan, komputer, aksesori kereta dan kesihatan.

Celik IT

Misalnya, jika anda ingin mencari set pinggan mangkuk, cadar, permaidani, bingkai gambar atau kain langsir, klik kategori Produk Barangan Rumah dan anda akan dapat melihat senarai pengusaha atau kedai yang menjual barangan tersebut.

Begitu juga jika anda mencari jamu asli, herba, vitamin, pil melangsingkan badan, minyak urut mahupun madu, pilihlah kategori Produk Kesihatan.

WanitaMelayu.com juga menyediakan segmen Informasi Wanita dengan pelbagai celoteh berkaitan rumah tangga, dapur, dekorasi dan landskap, seni jahitan dan keterampilan diri.



HASIL sulaman Suzana ditempah oleh syarikat dan indvidu luar negara termasuk dari Arab Saudi, Turki dan Britain.

--------------------------------------------------------------------------------


Bagaimanapun, pengguna perlu mendaftar terlebih dahulu sebelum boleh menggunakan kemudahan yang disediakan di forum berkenaan.

Menurut Suzana, sejak mula lagi, beliau menyasarkan golongan suri rumah kerana melihat potensi kumpulan tersebut dalam meningkatkan pendapatan isi rumah.




--------------------------------------------------------------------------------



Katanya, kebanyakan suri rumah yang singgah di forum WanitaMelayu.com mempunyai kemahiran dan produk yang boleh dipasarkan secara komersial.

"Namun, masalah utama mereka ialah tidak mempunyai masa, peluang dan sumber untuk melariskan produk mereka.

"Justeru, salah satu faktor wujudnya WanitaMelayu.com ini ialah untuk membuka peluang kepada golongan ini," ungkap Suzana yang berazam untuk melahirkan lebih ramai suri rumah yang celik teknologi maklumat terutama mereka yang tinggal di luar bandar.

"Saya anggap misi saya berjaya kerana 80 peratus daripada ahli forum WanitaMelayu.com adalah daripada kumpulan tersebut," katanya bangga.

Suzana tergelak kecil apabila diajukan soalan mengenai cabaran menjadi seorang pengendali forum Internet.

"Bidang online lebih berganda cabarannya berbanding berniaga secara biasa kerana kita tidak tahu dengan siapa kita berurusan," katanya yang turut menghasilkan buku mengenai sulaman dan kraf tangan.

Perniagaan online juga memerlukan kesabaran yang tinggi.

Katanya, dengan pendapatan yang tidak dapat dijangka, pengusaha online perlu cekap mencari pelanggan dan mempunyai kemahiran untuk menarik perhatian pembeli ke atas produk mereka.

Bagi merapatkan hubungan sesama ahli WanitaMelayu.com, beberapa siri perjumpaan dilakukan.

Geleri ala bengkel

"Daripada pengusaha baju, manik, makanan, kraf tangan, sulaman serta hiasan rumah, kami berkumpul dan di situ kami bertukar-tukar pandangan.

"Paling istimewa, kami tidak menjemput orang kenamaan kerana bagi saya, mereka (suri rumah) sudah cukup penting.

"Di samping itu juga, kami mahu perhatian benar-benar diberikan hanya pada mereka yang menjadi ahli WanitaMelayu.com," ujar Suzana.

Menjengah galeri Suzana, ZSi Trading Entreprise yang terletak di Bukit Mahkota Cheras, jelas terzahir minat ibu kepada tiga cahaya mata ini terhadap kerja-kerja kraf tangan dan sulaman.

"Sulaman reben adalah minat utama saya. Rupa-rupanya, tidak ramai yang tahu mengenai teknik sulaman ini di Malaysia," katanya bernada kesal.

Melanjutkan bicara, Suzana menjelaskan, beliau turut menerima tempahan daripada individu yang tinggal di luar negara seperti Brazil, Turki dan Britain.

"Tempahan pertama yang paling banyak saya terima ialah daripada sebuah syarikat Arab Saudi pada tahun 2007.

"Syarikat itu yakin dengan produk saya setelah melihatnya di laman forum dan blog lalu memasukkan deposit sebanyak RM75,000," katanya.

Dengan tempahan sebanyak itu yang perlu disiapkan dalam masa enam bulan, Suzana nekad berhenti kerja di sebuah syarikat swasta bagi menumpukan perhatian pada perniagaan serta forum tersebut.

Tambah Suzana, selain berjaya mengeluarkan kit peralatan menyulam pertama di Malaysia, produk yang seringkali mendapat perhatian ialah sarung kusyen, beg jerut serta alas meja.

Menyentuh mengenai sulaman reben, Suzana menjelaskan fabrik, jenis reben serta alatan yang digunakan haruslah tepat bagi mendapatkan kualiti yang bagus.

"Silap pilih, bukan saja menjejaskan kualiti sulaman tersebut malah kemungkinan kita akan kehilangan pelanggan," katanya yang turut menganjurkan bengkel sulaman dan kraf tangan di galerinya.

0 ulasan:

Catat Ulasan

Follow by Email