28 Februari 2009

Lelaki Jual Gincu???


Tanya Pakar: Lelaki jual gincu
Oleh Fairuz Zaidan
fairuzaidan@bharian.com.my




Isu gender bukan penghalang dominasi jualan kosmetik

GINCU, maskara, bedak padat, wangian hinggalah pakaian dalam - semuanya bagaikan sebati dalam hidup Suhaimi Md Nasir.

Menceburi sektor perniagaan jualan langsung produk kosmetik Avon hampir sedekad lalu, Suhaimi berjaya memecah dominasi wanita dalam bidang ini.



Mengapa tidak, daripada 400,000 wakil jualan Avon di seluruh Malaysia, hanya Suhaimi lelaki tunggal yang mencapai status hebat sesuai dengan nilai jualan tahunan lebih RM70,000 yang dicapai jejaka ini.

Bukan calang-calang anak kelahiran Kuala Lumpur ini. Sejak menyertai syarikat kosmetik gergasi itu pada 2000, Suhaimi pada mulanya hanya menjadi wakil jualan Avon sama seperti orang lain. Namun, berkat usaha gigihnya, beliau akhirnya dilantik sebagai Pengarah Unit kerana kemampuannya mencapai jualan tinggi.

Tiada yang mustahil - begitulah prinsip yang dipegang jejaka berusia 33 tahun ini. Suhaimi berpegang kepada hakikat tiada istilah gagal atau canggung biarpun menjual produk kosmetik wanita.

“Jika difikirkan memanglah pelik kerana 80 peratus wakil jualan Avon di seluruh negara, didominasi wanita. Apatah lagi, pelanggan Avon lebih ramai wanita berbanding lelaki.

“Tetapi itu semua faktor kecil. Sebaliknya, kepercayaan dan kemampuan kita akhirnya membuktikan segala-galanya,” katanya penuh yakin ketika mula bicara bersama Tanya Pakar.

Suhaimi berkongsi cerita, pada mulanya bukan mudah baginya meyakinkan pelanggan terutama wanita.

“Disebabkan saya lelaki, saya perlu bekerja keras dan berusaha bersungguh-sungguh meyakinkan pelanggan,” katanya.

Namun, nyata personaliti Suhami yang gemar berjenaka dan jujur dengan pelanggan akhirnya mendekatkan dirinya dengan pembeli.

Kata Suhaimi, sejak dulu lagi, beliau sentiasa mementingkan kejujuran dan komitmen tinggi dalam meyakinkan pelanggan terhadap perkhidmatan dan mutu barangan yang dijual.

“Jika dulu, saya banyak lakukan secara kecil-kecilan, kini saya banyak dibantu adik-beradik dan keluarga dalam memasarkan produk,” katanya yang sering menikmati percutian tajaan Avon atas rekod jualan tinggi yang dicapainya.

Melihat pencapaian dan kesungguhan Suhaimi membina nama bersama Avon, tidak disangka rupa-rupanya beliau melakukan tugas ini secara sambilan.

Suhaimi sebenarnya memiliki tugas tetap yang menantinya di sebuah hotel.

“Biarpun nampak rumit, saya membahagikan masa sebaik mungkin. Saya merancang setiap agenda seperti waktu berurusan dengan pelanggan, mengambil barang hinggalah kepada menghantar produk yang dipesan.

“Saya tidak pernah berasa bosan dan tidak terkejar-kejar kerana dibantu adik-beradik dan keluarga yang menyokong apa yang saya lakukan ini,” katanya.

Bersama XY - Ikon Lelaki minggu ini, Suhaimi berkongsi wawasan serta pengalaman dalam menghadapi cabaran sektor jualan langsung produk kosmetik.

Ceritakan sedikit tugas Suhaimi sebagai wakil jualan Avon?

Sebagai wakil jualan Avon, saya perlu komited mempromosi kempen barangan baru di pasaran dan mengedar katalog atau majalah kempen kepada pelanggan termasuk ahli keluarga.

Katalog atau majalah kempen Avon ini penting dan boleh diibarat kaunter kosmetik bergerak yang menentukan hasil jualan. Bermula sebagai wakil jualan Avon, kini saya berbangga kerana bergelar Pengarah Unit atas pencapaian jualan saya.

Bagaimana anda boleh terbabit dalam empayar perniagaan wanita ini?

Saya memang berminat menceburi perniagaan. Malah, sebelum itu saya pernah melakukan kerja sampingan iaitu menjual nasi lemak, mengusahakan gerai burger dan membantu rakan menguruskan perniagaan.

Pembabitan saya sebagai wakil jualan Avon bermula pada 2000 apabila diperkenalkan sepupu. Melihatkan keuntungan dan proses jual beli, membuatkan saya terfikir untuk mencuba.

Alhamdulillah, sehingga kini saya masih lagi bersemangat bersama Avon.

Menyentuh mengenai pembabitan awal sebagai wakil jualan, bagaimana anda menghadapi cabaran dan mengorak langkah permulaan?

Ternyata setiap perkara baru yang kita lakukan tidak mudah. Saya mengeluarkan modal RM1,000 sebagai permulaan untuk membeli barangan sebelum mencari jualan.

Kaedah ini membuatkan pelanggan lebih berpuas hati. Mereka gemar mencuba dan memegang produk berbanding melihatnya dalam katalog atau majalah.

Sekarang, saya berpeluang mendapat modal awal iaitu kredit berjumlah RM21,000 sebulan yang didahulukan Avon.

Rata-rata urus niaga anda membabitkan pelanggan wanita sedangkan anda seorang lelaki. Ceritakan cabaran berdepan situasi ini?

Tidak dinafikan ada konflik pada peringkat permulaan. Lebih-lebih lagi ketika berurusan dengan pelanggan baru. Tetapi, ia bergantung kepada bagaimana kita berurus niaga dengan pelanggan.

Setakat ini, saya tidak pernah berdepan masalah sebaliknya terus meraih kepercayaan pelanggan selama bergiat selama sembilan tahun ini.

Bagaimana cara anda berurus niaga terutama membabitkan barangan bersifat peribadi kepada pelanggan wanita?

Seperti yang dinyatakan tadi, ia bergantung pada tahap profesionalisme kita sendiri. Saya sentiasa berfikiran positif dalam berurus niaga termasuk membabitkan barangan peribadi mereka.

Ini kerana saya sudah lama berkecimpung dalam bidang ini. Jangan tidak tahu, saya sendiri sudah mampu mengagak saiz coli yang sesuai untuk pelanggan wanita.

Bagaimana cara anda meyakinkan pelanggan wanita terhadap produk yang dijual?

Cara pergaulan ketika berdepan pelanggan wanita amat penting. Saya seorang yang happy go lucky. Tidak saja kepada pelanggan wanita, pelanggan lelaki juga kita perlu ada cara tersendiri dalam berurus niaga.

Penampilan kita akhirnya mencerminkan keperibadian hingga boleh meyakinkan pelanggan.

Apakah tip yang menjadi pegangan anda sehingga berada pada tahap sekarang?

Jujur. Bagi saya itulah perkara penting untuk meyakinkan orang lain. Saya juga melayan semua pelanggan sama rata, termasuk membenarkan mereka mencuba dan meneliti produk sebelum dibeli. Inilah antara resipi kesetiaan pelanggan kepada kita.

Sejauh mana kerjaya ini mampu memberi kepuasan?

Bukan saja perniagaan ini mampu menambahkan pendapatan bulanan, saya juga mampu memiliki kenderaan serta berpeluang melancong dan mengikuti kursus motivasi di luar negara yang dibiayai Avon.

Apakah langkah terbaik meningkatkan nilai jualan ketika dunia menghadapi masalah kelembapan ekonomi?

Kita hendaklah berusaha lebih dan tidak malu menarik lebih ramai pelanggan baru. Ketepikan faktor malu untuk berjaya. Saya sentiasa pastikan mengedar katalog kempen promosi produk Avon setiap dua minggu.

Langkah ini bagi menjamin maklumat sampai kepada pelanggan.

Apakah produk lelaki terlaris keluaran Avon yang menjadi pilihan jejaka?

Jika wanita, sudah tentulah gincu bibir. Lelaki pula memilih wangian, stik deodoran, semburan nyah bau kaki dan pencuci muka untuk kulit berminyak.

Siapa Idola anda?

Pakar masakan terkenal, Chef Wan. Bagi saya, beliau cukup komited dalam lapangan masakan sehingga menampakkan kesungguhan dan kejujuran dalam dunia masakan sehingga namanya terkenal di seluruh dunia.

Bagaimana anda berdepan tanggapan lelaki sendiri mengenai pembabitan anda dalam dunia kecantikan wanita?

Rata-rata kenalan tidak memandang serong malah memberi sokongan. Bagi saya, tidak kisah andai ada tanggapan serong sekalipun kerana saya melakukannya secara halal dan disokong keluarga.

Apa sasaran anda seterusnya?

Menjadi azam saya untuk memiliki kedai sendiri bagi memasarkan barangan Avon.



Profil

Nama: Suhaimi

Umur: 33 tahun

Tarikh lahir: 26 Jun 1976

Tempat lahir: Kuala Lumpur

Tinggi: 168 sentimeter

Berat: 67 kilogram

1 ulasan:

  1. Walaikummusalam,salam ceria dan sukses firadila,

    Yep betul tu firadila,apa sahaja yg kita inginkan dlm hidup ini,insya-Allah akan dapat dicapai jika kita sanggup berusaha mendapatkannya. :)

    Salam sukses,firadila

    BalasPadam

Follow by Email